Friday, April 23, 2010

Bunga, duit kopi, daging babi…

Orang melayu-Islam sangat membenci khinzir-babi. Usahkan memakannya, terhidu baunya pun sudah meloyakan. Tapi benarkah orang melayu-Islam membenci babi atas dasar iman? Maksudnya atas dasar beriman dan patuh kepada Allah yang mengharamkannya?

Atau sikap itu hanya kerana ikutan adat kebiasaan semata-mata? Oleh kerana datuk, nenek-moyang kita memang tidak memakan babi dan membencinya maka kita pun turut membenci dan jijik padanya?

Persoalan ini timbul kerana ada perkara haram yang lain yang tidak dipandang jijik sejijik babi. Misalnya, kita dapati ramai orang Melayu yang tergamak memakan rasuah yang hakikatnya lebih jijik dan besar dosanya berbanding memakan babi. Kenapa sesetengah umat Islam tidak membenci rasuah seperti mana mereka membenci babi? Mungkinkah kerana duit rasuah tidak berbau, tidak meloyakan? Mungkin sebab itu agaknya, wang rasuah ditukar istilahnya menjadi ‘duit kopi’. Semacam riba juga yang dulunya dipanggil wang ‘bunga’. Indah bunyinya bukan? Terasa cantik, sedap dan terhormat mungkin…

Kenapa orang makan rasuah? Kerana miskin? Tapi mengapa ramai yang sudah kaya tetapi masih melakukan rasuah? Malah si kaya yang miskin jiwa ini melakukan rasuah bertaraf mega-bukan ribuan, malah berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit. Kerana jahil? Anehnya, para cerdik pandai juga tidak terkecuali daripada rasuah. Kata orang, ‘white collar crimes’ – jenayah kolar putih.

Habis, kerana apa? Kerana terdesak? Tidak juga, kerana ada orang yang lebih terdesak daripada perasuah tetapi masih tidak tergamak melakukan kerja terkutuk itu. Bahkan rasuah kerap kali berlaku bukan kerana ‘kekurangan’ tetapi kerana ‘nak lebih’!

Need, greed and opportunity…

Mengikut kajian, rasuah berlaku kerana adanya NGO – need, greed and opportunity – keinginan, tamak dan peluang. Pendek kata, rasuah disebabkan sifat tamak, mementingkan diri dan tidak amanah dalam diri. Tidak kira seseorang itu kaya atau miskin, bijak atau jahil, tenang atau terdesak, bila ada sahaja sifat tamak, pentingkan diri atau tidak amanah…maka dia berpotensi untuk melakukan rasuah jika ada peluang.

Rasuah sebenarnya bermula dan berlaku dari dalam diri – bukan dari faktor persekitaran atau luaran. Faktor luaran hanya membantu sahaja setelah ‘benih’ rasuah subur dari dalam diri seseorang. Kenapa seseorang itu bersifat tamak, pentingkan diri dan tidak amanah? Dalam Islam, sifat-sifat mazmumah ini berpunca dari hawa nafsu.

Nafsu sangat mengajak kepada kejahatan…

Al-Quran menegaskan, bahawa nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan. Itu tabiat semula jadinya. Namun, nafsu tidak boleh dihapuskan, ia cuma boleh dididik dan dijinakkan. Ertinya, ia mesti dikawal dengan pengawasan akal yang bersih dan perintah hati yang suci.

Apabila nafsu terlalu rakus, iman akan menjadi lemah. Hati tanpa iman akan mudah dikuasai oleh nafsu. Begitu juga akal. Akan tewas apabila dihasut oleh kebuasan nafsu. Hati lemah, apabila iman rapuh. Akal lemah apabila ilmu kurang. Ketika itu nafsu akan menggantikan tempat hati sebagai raja dan menjadikan akal umpama bendahara (penaasihat) yang tunduk pada kehendak jahatnya. Pendek kata, manusia yang melakukan rasuah ialah manusia yang lemah imannya, rakus nafsunya dan lemah pertimbangan akalnya. Tidak ada jalan lain untuk menundukkan kebuasan nafsu melainkan dengan menguatkan iman. Memang, ilmu pada akal perlu ditambah juga…tetapi penambahan ilmu tidak boleh mengatasi kepentingan menambah iman di dalam hati seseorang. Sudah banyak ilmu tentang keburukan rasuah ‘didendangkan’ tetapi tanpa iman semuanya akan sia-sia sahaja. Bukankah ‘kemahuan’ yang bertapak di hati lebih kuat kuasanya berbanding ‘pengetahuan’ yang bertunjang di akal semata-mata?

*Dipetik daripada majalah SOLUSI edisi ulang cetak-Kerana Rezeki, Masuk Neraka