Sumber:
Portal Rasmi Fatwa Malaysia
Isu: 
Terdapat sesetengah masyarakat berpendapat sistem Perbankan Islam khusus untuk orang Islam sahaja, sedangkan kita ketahui kewujudan Sistem Perbankan Islam adalah untuk semua kaum tidak mengira agama. Apa pandangan Y.Bhg Dato' tentang keadaan ini? Bolehkah Y.Bhg Dato' cadangkan beberapa langkah bagi mengubah perspektif ini?
Keputusan: Memang sistem perbankan secara Islam adalah untuk umum, bukan untuk orang-orang Islam sahaja. Masalah sekarang ini, orang Islam sendiri belum memberi kepercayaan sepenuhnya kepada sistem ini, apa lagi kepada mereka yang bukan Islam.
Bagi saya keyakinan dan kepercayaan orang-orang Islam sendiri terhadap kemampuan sistem kewangan secara Islam ini sangat penting. Saya difahamkan di Sudan, pada mulanya ada dua sistem yang beroperasi, sistem secara Islam dan konvensional. Oleh kerana masyarakat yakin dan memilih sistem secara Islam, akhirnya sistem konvensional terpaksa ditutup dan tidak beroperasi lagi.
Langkah meyakinkan masyarakat, bahawa sistem kewangan secara Islam adalah lebih baik, perlu diperhebatkan. Seminar-seminar mengenai sistem kewangan Islam diadakan dari semasa ke semasa, terutama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Latihan-latihan yang berterusan di kalangan pekerja-pekerja bank, untuk mempertingkatkan mutu kecekapan perkhidmatan, suasana yang lebih Islamik dapat diwujudkan dibank-bank, baik dari sudut kemesraan, layanan dan lain-lain.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kelantan