Jawapan:
Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nuffnang dan Google Adsense, justeru sukar untuk saya memberikan jawapan yang tepat dan spesifik kepada soalan tersebut. Oleh itu saya hanya akan memberikan jawapan umum dan juga panduan ringkas untuk menyemak status hal sebegitu. Isi utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog yang digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak Nuffnang dan Google Adsense, hasil daripada kemudahan yang diberikan itu, kedua-dua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu.
Dari sudut akad atau kontrak, substance atau isi utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori akad "menjadi wakil dengan upah tertentu" atau wakalah bil ujr. Dalam konteks ini, kita selaku web atau blog dikira sebagai wakil pihak Nuffnang untuk menyebarluaskan iklan mereka. Sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan berdasarkan formula tertentu sama ada berdasarkan jumlah klik dan sebagainya. Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:
1. Autoriti:
Autoriti pihak yang menyediakan tawaran dalam konteks ini ialah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai pelbagai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka.
2. Upah dan cara kiraan:
Jumlah upah dan cara pengiraannya mestilah diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan syariah.
3. Kandungan iklan:
Kandungan iklan yang dipaparkan, jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk Nuffnang dan Google itu memaparkan iklan yang tidak halal, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi, iklan forex trading, bank riba, pinjaman riba atau apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diupah kerana mengiklankannya juga turut haram, sebagaimana kandungan iklan tersebut. Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi yang haram hukumnya adalah haram, maka setiap upah atas promosi tersebut juga haram. Dalilnya terlalu banyak, antaranya adalah laknat Nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak , demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.
4. Cara pembayaran:
Hal ini perlu disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan/gharar.
Jika keempat-empat peringkat itu semuanya lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita peroleh juga turut halal, demikian juga sebaliknya.
Sumber : Majalah Solusi Isu No. 19, Ruangan Soal Jawab Muamalat, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment